Itu keunikan ekspedisi berakit di sepanjang Sungai Kelantan yang disertai seramai 70 belia sempena sambutan 50 tahun Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.

Program tersebut merupakan anjuran USM dengan kerjasama agensi-agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Alternatif Jaringan Rakyat Cakna Malaysia, Kemahang Care dan Putera Valley.

Dalam program tersebut, para peserta singgah di Kampung Mambong, Kuala Krai yang terletak di tebing Sungai Kelantan dan meluangkan masa menyantuni penduduk setempat terutama golongan asnaf.

Ekspedisi berakit di Sungai Kelantan
PESERTA ekspedisi berakit di Sungai Kelantan menyertai jamuan bersama penduduk di Kampung Mambong, Kuala Krai baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE

Malah, mereka juga mengadakan pelbagai aktiviti khidmat masyarakat seperti pemeriksaan kesihatan percuma dan gotong-royong membersihkan kawasan kampung.

Wakil penduduk kampung tersebut, Zakri Mamat mengakui mereka tersentuh hati apabila para peserta ekspedisi itu sudi memilih Kampung Mambong untuk melakukan aktiviti khidmat masyarakat.

“Jarang sekali kumpulan sukarela datang ke kampung kami kerana kedudukannya yang jauh di pedalaman. Kami gembira menerima kehadiran mereka,” katanya.

Zakri menambah, penduduk Kampung Mambong berharap lebih ramai kumpulan kebajikan dan sukarelawan memilih kawasan itu untuk aktiviti khidmat masyarakat masing-masing. - UTUSAN ONLINE