Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, skim pinjaman berkenaan dilaksanakan dalam usaha membantu memperkembangkan lagi pengusahaan kraftangan dan rumah inap di negara ini.

Beliau berkata, melalui skim pinjaman ini, kerajaan turut menyediakan subsidi sebanyak dua peratus untuk setiap pengusaha.

“Skim pinjaman ini sudah mula dibuka dan terbuka kepada semua pengusaha mahupun mereka yang berkeinginan untuk menjadi pengusaha kraftangan dan rumah inap di seluruh negara.

“Setakat ini, kita telah menerima permohonan, namun tidak ramai yang memohon kerana masih ada yang tidak tahu mengenai skim pinjaman ini, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kraf Tekstil Pantai Timur sempena Progran Pemerkasaan Komuniti Kraf Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Rehal di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata, Festival Kraf Tekstil Pantai Timur ini diadakan untuk memberi pendedahan dan mendekatkan lagi komuniti setempat dalam mengenali produk kraf.

“Festival ini juga merupakan landasan terbaik bagi mengukuhkan kerjasama dan rantaian pemasaran dalam kalangan usahawan kraf tekstil pantai timur di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE