Duku Terengganu yang popular dengan tagline ‘nikmat rasa duku sebenar’ dijual kepada orang ramai pada harga lebih rendah iaitu RM10 bagi setiap tiga kilogram berbanding harga pasaran semasa RM5 sekilogram.

Pengarah FAMA Kelantan, Mohd. Ariffin Awang berkata, jualan tersebut yang bermula sejak semalam merupakan salah satu inisiatif FAMA dalam mempromosi dan memasarkan duku Terengganu sekali gus mengelak berlaku lambakan selain menjamin kestabilan harganya.

Beliau berkata, setakat ini, FAMA memasarkan lebih 200 tan duku Terengganu di seluruh negara dan daripada jumlah itu, kira-kira 10 tan buah tersebut dibawa masuk ke negeri ini.

“Musim duku Terengganu ini dijangka berterusan dalam dua atau tiga minggu lagi. Jadi selagi ada musim, gerai jualan buah ini dibuka setiap malam di Dataran Bandaraya.

“Dianggarkan terdapat kira-kira 100 tan lagi duku Terengganu di ladang pengeluarnya dan sebaik sahaja ada bekalan baharu, kita pastikan sebahagian daripada buah itu diagihkan di negeri ini,” katanya dalam Program Ramah Mesra dan Promosi Duku Terengganu bersama pengamal media di Medan Warisan Makanan Kelantan, Dataran Bandaraya, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Sementara itu, Md. Anizam berkata, jualan duku Terengganu diharap dapat memeriahkan lagi suasana Medan Warisan Makanan Kelantan yang baru dibuka sejak sebulan lalu.

“Medan ini yang dibuka setiap malam adalah tarikan pelancongan terbaharu di Kelantan dan setakat ini terdapat 40 gerai serta trak makanan menjual pelbagai makanan tradisi.

“Medan ini merupakan inisiatif bersama MPKB-BRI dengan pihak FAMA bagi menghidupkan suasana malam bandar Kota Bharu serta membantu peniaga meningkatkan hasil jualan,” katanya.