Pegawai Penyelaras Sekolah Murid Orang Asli Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Azman Jaafar berkata, program Prokhas itu adalah yang pertama di negara ini apabila kelas khas dibuka di kawasan perkampungan orang asli itu sendiri.

Beliau berkata, pihaknya telah berkolaborasi dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Jariah bagi menyediakan kemudahan asas serta membaik pulih bangunan dewan orang ramai.

Sebagai permulaan, seramai 23 orang murid dari Kampung Aring 5 dan Kampung Kuala Koh berumur tujuh hingga sembilan tahun sudah berdaftar untuk mengikuti kelas khas itu.

Prokhas untuk anak Orang Asli Batek
KANAK-KANAK Orang Asli yang mengikuti kelas Prokhas di Kampung Aring 5, Gua Musang, Kelantan turut disediakan makanan. - UTUSAN ONLINE

“Kelas Prokhas mendapat sambutan apabila ramai anak Orang Asli yang sebelum ini tidak bersekolah mendaftar untuk mengikuti kelas ini.

“Kelas ini akan beroperasi tiga hari dalam seminggu bermula pukul 9 pagi hingga 12.30 tengah hari.

“Kita juga menyediakan khidmat seorang guru berpengalaman luas yang berkhidmat secara sukarela untuk mengajar, membantu menangani hal berkaitan sosiobudaya dan permasalahan anak Orang Asli Batek,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang gembira apabila mempunyai ‘sekolah’ sendiri di kampung mereka.

Katanya, sebelum ini, jarak sekolah yang jauh menyebabkan ibu bapa Orang Asli tidak membenarkan anak mereka yang masih kecil ke sekolah sehingga berlaku keciciran dalam pelajaran.

“Kita akan terus memujuk lebih 20 orang kanak-kanak lagi untuk mengikuti kelas Prokhas ini supaya tidak terus berlaku masalah pendidikan.

“Kita berterima kasih kepada semua pihak terlibat yang merealisasikan harapan ibu bapa Orang Asli di sini yang mahukan pusat pendidikan di kampung sendiri,” katanya. - UTUSAN ONLINE