Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, unsur-unsur ‘pintu belakang’ dan pemilihan berdasarkan aspek ‘kepartian’ tidak sepatutnya wujud memandangkan PPR di­laksanakan untuk golongan sa­sar, iaitu rakyat berpendapatan bawah RM3,000.

“Amalan sebelum ini, kita bersetuju kerajaan Pusat pilih 50 peratus daripada pemohon, manakala baki 50 peratus lagi kerajaan negeri yang pilih. Tetapi sebab kerajaan Pusat yang baharu ini kesan ada ketirisan berlaku, permohonan lama dibatalkan.

“Bagi saya ini satu usaha baik kerana kita perlu pastikan biar orang yang betul-betul layak dapat rumah tersebut, tanpa mengira apa parti politiknya. Soal parti sudah jadi kedua, yang utama ialah kebajikan rakyat.

“Kita akan pastikan proses dibuat betul-betul telus ikut kriteria ditetapkan tanpa ada unsur pintu belakang,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan peng­guguran senarai hampir 700 pemohon PPR Kota Bharu kerana mendapati permohonan dibuat tidak telus mengikut syarat yang ditetapkan seperti kepada golo­ngan pendapatan isi rumah bawah RM3,000.

Sehubungan itu, pihak kementerian membuka balik permohonan PPR Kota Bharu kepada golongan berkelayakan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati orang ramai menyerbu Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) di sini sejak awal pagi dan sanggup berbaris panjang semata-mata mahu membeli borang permohonan PPR Kota Bharu.

Keadaan itu menyebabkan pihak pengurusan terpaksa me­ngehadkan setiap individu hanya dibenarkan membeli satu borang sahaja, namun borang berkenaan dikatakan habis menjelang te­ngah hari menyebabkan ada yang terpaksa pulang hampa.

Penolong Setiausaha Unit Penguat Kuasa dan Perumahan, Mohd. Faiz Azmil Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak menyangka kehadiran sebegitu ramai pembeli dan setakat ini, kira-kira 2,000 borang permohonan telah habis dijual.

“Pihak kami tidak sempat mencetak borang baharu dan meminta orang ramai yang berminat datang semula keesokan hari.

“Permohonan khusus untuk PPR Kota Bharu ini dibuka sehingga hujung bulan. Selepas itu, pemilihan akan dibuat mengikut kriteria ditetapkan dan keputusan dijangka keluar pada hujung September atau awal Oktober,” katanya.