Pengurus Kanan Pemasaran dan Komunikasi Korporat Kumpulan PMBK, Zamakshari Muhammad berkata, bazar tiga tingkat itu pernah popular ketika di awal pembukaan namun namanya semakin malap akibat kurang promosi.

Zamakhshari berkata, sejak awal tahun ini, pihaknya memulakan gerakan mempromosikan semula Bazar Tok Guru termasuk mengadakan acara bulanan secara tetap serta kempen melalui media sosial.

“Dahulu sekitar 2011 nama bazar ini melonjak naik tetapi sejak 2013 sehingga kini namanya tenggelam berbanding pasar popular lain di Kelantan kerana orang beranggapan ia tempat untuk pemborong sahaja.

“Kita ada 343 lot di bahagian bawah bazar dan kira-kira 70 peratus daripada adalah pembekal kepada pemborong di seluruh negeri ini termasuk di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di program Karnival Gegar Raya 2019 di Bazar Tok Guru di sini semalam.

Zamakhshari berkata, Bazar Tok Guru sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri berikutan kedudukannya sebagai pusat pembekal pakaian terbesar di negeri ini.

“Kebanyakan pakaian dan tekstil yang dijual di pasar sekitar negeri ini termasuk Gua Musang diambil dari Bazar Tok Guru. Oleh sebab itu, peniaga di sini dapat menawarkan harga yang lebih murah untuk dijual kepada pengunjung,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Karnival Gegar Raya 2019, Yusri Yaakub, berkata, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang karnival itu yang bermula hari ini hingga 4 Jun bertempat di tingkat tiga bazar tersebut.

Antaranya cabaran ‘Beyblade’, persembahan dikir barat, pertandingan kraf, pertandingan kraf, pertandingan bayi comel, pertandingan menganyam ketupat, pasar buku, pertandingan muazzin dan hafiz muda, majlis khatam al-Quran serta cabaran dart.

“Di samping sebagai tarikan kepada pengunjung datang membeli belah, acara yang kita anjurkan ini juga adalah aktiviti alternatif kepada anak muda supaya tidak terlalu taksub bermain gajet,” katanya.

Beliau berkata, untuk sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman facebook ‘Bazar Tok Guru’. - UTUSAN ONLINE