Pengerusi Petunjuk, Dr Mohamad Hamzah berkata, pihaknya mahu menggalakkan institusi keluarga turun padang meninjau keperluan masyarakat setempat termasuklah waris sendiri yang memerlukan bantuan.


Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Kelantan berkata, banyak kerja kebajikan boleh digerakkan secara pantas melalui sumbangan yang dikumpul dari tabung keluarga sendiri sekali gus mengurangkan kes golongan susah yang terpinggir mendapat bantuan akibat pihak yang bertanggungjawab terlepas pandang.


“Setakat ini sebanyak 12 tabung keluarga sudah bernaung dengan Petunjuk. Matlamat kami adalah membina balik struktur masyarakat yang semakin punah terutamanya disebabkan berleluasnya gejala dadah dan kemiskinan.


“Kita juga mahu unit keluarga peka dengan kesusahan masyarakat dan aktif menjalankan gerak kerja kebajikan dalam keluarga dan kampung mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga kepada seorang remaja autisme, Muhammad Syahizat Sukri, 14, di Kubang Kerian di sini semalam.


Sementara itu, Mohamad berkata, Petunjuk akan berfungsi sebagai fasilitator kepada tabung-tabung keluarga yang bernaung dengannya untuk memberi sebarang khidmat nasihat yang diperlukan.


“Setiap aktiviti dirancang dan dijalankan sendiri tabung keluarga yang diketuai ketua tabung sebagai pemegang amanah yang juga akan menjadi ahli Petunjuk.


“Kita berharap setiap tabung keluarga dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya RM1,000 setahun untuk diagihkan kepada golongan fakir miskin di tempat mereka,” katanya. 


Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Setiausaha Petunjuk, Haneef Ibrahim di talian 01110919340. - UTUSAN ONLINE