Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Datuk Wan Mohd. Hasnan Abdullah berkata, jumlah tersebut akan diagihkan kepada 4,913 asnaf di negeri-negeri di wilayah Petronas iaitu Kelantan, Johor, Kedah, Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Menurut beliau, usaha tersebut dibuat oleh Bakip yang dilantik untuk mengagihkan wang zakat kakitangan Petronas bagi tahun 2018 dengan kerjasama Pusat Zakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sumbangan ini diberikan dalam bentuk baucer bernilai antara RM75 hingga ke RM200 setiap pelajar bagi tujuan pembelian kelengkapan persekolahan seperti pakaian dan alat tulis.

“Seramai 1,163 pelajar di wilayah timur iaitu di negeri ini, Terengganu dan Pahang dipilih sebagai penerima dan daripada bilangan itu, seramai 330 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor menerimanya hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat Bakip di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Tarbiah Mardhiah, Panchor, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berterima kasih kepada pihak Petronas dan Bakip kerana memilih para pelajar di kawasan Panchor sebagai penerima sumbangan zakat tersebut tahun ini. - UTUSAN ONLINE