Perpusatakaan yang dibina dengan kos RM1.5 juta oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu memberi manfaat dan menyediakan kemudahan bahan bacaan terbaik kepada masyarakat setempat.

Seorang pelajar pra-universiti, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra, Siti Zakiah Mat Nawi, 18, berkata, terdapat pelbagai bahan bacaan ilmiah boleh dijadikan rujukan bagi menghadapi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Katanya, itu perpustakaan tersebut juga menyediakan ruang yang selesa untuk mengulangkaji pelajaran, makmal komputer dan kemudahan jalur lebar percuma.

“Di sinilah saya bersama-sama rakan berkumpul untuk belajar bersama-sama.

“Kami juga tidak perlu keluar jauh dari jajahan ini untuk membeli dan mencari buku rujukan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Seorang lagi pelajar, Mohd. Alif Haikal Mahadi, 19, berkata, walaupun ketika ini zaman digital, namun anak muda masih menjadikan perpustakaan sebagai tempat rujukan.

Katanya, pembinaan perpustakaan oleh Kesedar itu memberi faedah kepada pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Kita berharap orang ramai mengunjungi dan membuat pinjaman buku di perpustakaan yang mana secara tidak langsung dapat menyuburkan minat membaca serta pembentukan masyarakat berilmu.

“Kini kita dapat melihat lebih ramai lagi kanak-kanak termasuk ibu bapa datang ke perpustakaan terutamanya pada hari cuti hujung ming­gu,” katanya.