Timbalan Pengarah Perhilitan negeri, Adnan Ismail berkata, operasi pemindahan gajah jantan yang diberi nama ‘Bayu’ seberat dua tan itu dilakukan dengan bantuan Pusat Konser­vasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Katanya, seramai 27 anggota Perhilitan terbabit dalam operasi selama empat jam bermula pukul 9 pagi dan berakhir pukul 2 petang itu.

“Kami menggunakan dua gajah dikenali sebagai Abot dan Rambai yang bertindak sebagai denak bagi menjinakkan gajah liar terbabit untuk dipindahkan ke Taman Negara Terengganu.

“Gajah liar ini dianggarkan berusia 15 sehingga 18 tahun dengan saiz tapak kaki 13 inci itu dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di Kampung Sungai Bayu, di sini semalam.

Menurut Adnan, gajah liar itu merupakan yang pertama berjaya ditangkap tahun ini selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, pada tahun lepas sebanyak enam ekor gajah liar berjaya ditangkap oleh pihak Perhilitan di sekitar kawasan Jeli dan Gua Musang.

“Kami melaksanakan operasi menjejak pada Rabu lalu dan gajah itu berjaya ditangkap pada Jumaat, pukul 10 pagi, dalam berhampiran kawasan pondok Sungai Bayu.

“Kita berharap penduduk ja­ngan bertindak sendirian dan melaporkan kepada kita sekiranya terserempak dengan haiwan liar di kampung mereka,” katanya.

Sementara itu, guru sekolah pondok Sungai Bayu, Ahmad Hassan, 54, bersyukur dan lega apabila gajah liar yang mengganggu tanaman penduduk sejak tiga minggu lalu berjaya ditangkap.

Katanya, pada pagi Rabu lalu sekitar pukul 3 pagi gajah berke­naan memasuki kawasan pondok dan telah memakan pisang dan tebu sebelum pihaknya meminta bantuan Perhilitan bagi menangkap gajah itu.

“Gajah liar datang secara berperingkat memusnahkan ta­naman di kampung ini dan ini merupakan serangan terbaru selepas lebih dua tahun lalu,” katanya.