Ibunya, Zariah Wahab, 39, berkata, keadaan Daniel masih belum berubah apabila anaknya kerap menangis kesakitan apabila ketumbuhannya mengeluarkan darah.

ZARIAH WAHAB mencuci darah daripada ketumbuhan misteri di belakang
ZARIAH WAHAB mencuci darah daripada ketumbuhan misteri di belakang pinggang Muhamad Arshad Daniel Halim di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Chalil, Gua Musang, semalam. 

Katanya, dia berharap rawatan di hospital berkenaan dapat menyembuhkan penyakit anaknya yang kini berada tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Chalil, bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

“Saya juga sudah menghantar anak ke Hospital Gua Musang selama empat hari baru-baru ini.

“Daniel hanya menjalani rawatan tambah darah dan pihak hospital berkenaan mahu merujuk semula ke HUSM untuk rawatan lanjut pada Isnin ini. Harapnya ada perubahan dan bersedia jika anak saya perlu dibedah sekiranya cara itu dapat menyembuhkannya,” katanya yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Chalil di sini hari ini.

Zariah berkata, sejak kisah penderitaan anaknya disiarkan pihak media, dia menerima banyak simpati daripada orang ramai.

Katanya, ramai yang menghubunginya memberi kata-kata semangat di samping menghulurkan sumbangan kewangan dan bantuan barangan makanan.

“Kami tidak dapat membalas jasa baik semua pihak dan hanya Allah SWT dapat membalasnya.

“Saya juga berharap Allah SWT mempermudahkan urusan dan memohon kesembuhan anak untuk rawatan kali keduanya di HUSM nanti,” katanya.

Pada 19 Mac lalu, akhbar ini melaporkan kisah Daniel yang menanggung derita penyakit ketumbuhan misteri sejak lahir.

Sejak sebulan lalu, penyakit ketumbuhan di belakang pinggangnya semakin serius apabila semakin membesar dan keluar darah.

Ketumbuhan sebesar mang­kuk seberat 500 gram itu menghalang Daniel untuk ke sekolah.