Imam Tua mukim berkenaan, Mohd. Yuzakky Mohd. Yusoff berkata, rombongan itu dibawa khas oleh Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak.

Beliau berkata, tujuan lawatan sambil belajar itu adalah untuk mengetahui mengenai pengurusan Hal Ehwal Wanita Masjid al- Abrar (Helwa al-Abrar) dalam membantu membangunkan aktiviti masjid.

“Slaid yang mengandungi 193 paparan itu dipersembahkan Pengerusi Helwa, Kamillah Abdullah dengan tajuk Kenali Helwa al-Abrar sebagai perkongsian ilmu dan pelaksanaan berkaitan peranan wanita dalam pembangunan masjid.

“Bagi mencapai kejayaan, jangan sesekali ada sekatan pemikiran kreatif di luar kotak dan sewajarnya melaksanakan sesuatu program secara muafakat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Unit Qariah Bahagian, Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Perak, Joshuade Reza dan Pengarah Kanan Unit Imarah Bahagian Pengurusan Masjid Perak, Amir Sufrilnizam.

Mohd. Yuzakky berkata, Imam Besar Majlis Agama Islam Kelantan, Muhammad Hana Pizi Abdullah yang memilih masjid al-Abrar sebagai destinasi rombongan itu turut menjalinkan ukhuwah sesama golongan wanita.

Menurutnya, pembentangan program tahunan dan pencapaian Helwa al-Abrar dapat dilaksana di Perak.

“Antara pencapaian dibanggakan ialah pengurusan makmal komputer al-Abrar, Pusat Sumber az-Zahra, meja pameran aktiviti Helwa dan pengurusan tandas Muslimat yang dibentangkan karpet sehingga ke pintu sejak dua tahun lalu boleh direalisasikan di masjid di Perak,” katanya.

Menurutnya, Helwa al-Abrar adalah salah satu biro Muslimat yang aktif di negeri ini selain Kelab Anak Muda al-Abrar yang melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun.