Begitu juga dengan guru taman bimbingan kanak-kanak (tabika) yang berperanan paling penting dalam pembangunan insan dan mendidik anak-anak semasa mereka berumur di antara empat hingga enam tahun lagi.

Dalam fasa usia itu, mereka akan menerima apa jua yang diajar sama ada negatif mahupun positif dan nilai-nilai tersebut akan memberi kesan sehingga mereka meningkat dewasa.

Kehidupan anak-anak juga akan bergantung kepada persekitaran yang didedahkan oleh guru-guru dan ibu bapa semasa mereka masih kecil lagi untuk mengenal siapa diri mereka dan membantu membentuk keyakinan diri.

Oleh yang demikian, maka tugas seorang guru itu amat penting dan kerana itu Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah meraikan warga pendidik tabika menerusi sambutan Hari Pendidik Kemas buat pertama kalinya pada tahun lalu.

Sambutan berkenaan wajar diberikan kepada guru tabika bagi mengiktiraf pengorbanan mereka yang berperanan mendidik anak bangsa di peringkat prasekolah lagi.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Hassan Manaf berkata, dengan adanya sambutan Hari Pendidik Kemas ini, mereka dapat menghargai dan meraikan sumbangan kakitangan Kemas yang kebanyakannya terdiri daripada golongan pendidik.

“Sebelum ini guru-guru tabika Kemas tidak pernah menyambut sambutan Hari Guru, namun bermula tahun lalu, jasa dan pengorbanan mereka juga turut dihargai dengan menganjurkan sambutan Hari Pendidik Kemas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2014 dan Sambutan Hari Pendidik Tahun 2015 Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kemas Kelantan, Anuar Mat Zain.

Hassan berkata, dengan adanya sambutan Hari Pendidik Kemas ini, ia mampu meningkatkan semangat mereka untuk mendidik anak bangsa khususnya di kawasan luar bandar dengan pelbagai ilmu pengetahuan.

“Saya berharap agar guru-guru dan kakitangan Kemas terus bersemangat untuk mendidik serta membantu anak-anak supaya mereka dapat mencapai apa yang kita hasratkan.

“Selain itu, kita juga berharap guru-guru Kemas juga dapat mendekati ibu bapa dan masyarakat setempat supaya kita dapat membangunkan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Tambahnya, Kemas juga turut melaksanakan pelbagai program seperti Hari Terbuka Keluarga, sambutan Kemerdekaan untuk mendampingi masyarakat setempat.

Sementara itu, Hassan berkata, memandangkan peranan guru tabika amat penting, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran serta kelayakan akademik guru-guru Kemas sekurang-kurangnya ke tahap diploma dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, lebih 5,000 daripada 13,000 jumlah keseluruhan guru Tabika Kemas telah mempunyai kelayakan diploma manakala lebih 2,000 lagi sedang menuntut diploma.

“Setiap tahun, kira-kira 300 hingga 400 guru akan menamatkan pengajian dan mempunyai kelayakan diploma. Jadi, ia sentiasa dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata, ini adalah matlamat kerajaan untuk memastikan tenaga pengajar Tabika di negeri ini mempunyai kemahiran serta pendidikan yang tepat untuk pendidikan awal kanak-kanak ini.