Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, Projek Rintis Menangani Lencongan Sosial Dalam Kalangan Remaja di Pengkalan Chepa tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya yang sedang giat merangka modul baharu bagi menangani isu dadah dengan lebih berkesan di negara ini.

“Kita memilih Pengkalan Chepa kerana ia antara lokasi panas di Kelantan. Menerusi projek ini, kita akan kumpul data lengkap di kawasan itu dan ambil tindakan menyeluruh termasuk melakukan intervensi dalam pelbagai aspek dengan kerjasama agensi kerajaan Pusat, negeri serta NGO.

“Projek ini bermula bulan depan dan kesannya dijangka boleh dilihat seawal enam bulan pertama. Kita akan tengok sejauh mana keberkesanannya sebelum kita gunakan kaedah sama di negeri-negeri lain pula,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan warga AADK negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah AADK negeri, Rohayu Ahmad.

Zulkifli memberitahu, terdahulu beliau turut menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Kerajaan Pas Kelantan telah menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama penuh kepada usaha AADK.

Kata beliau, antara perkara lain dicapai dalam mesyuarat tersebut ialah persetujuan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) membantu menjayakan program pendidikan melibatkan Orang Kena Pengawasan (OKP) di negeri ini iaitu Desa Takwa.

“Kita juga bersetuju bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memantau perkembangan penyalahgunaan dadah di sekolah-sekolah kendalian Yayasan Islam Kelantan (YIK) kerana sebelum ini tumpuan hanya diberi di sekolah-sekolah kementerian,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut memberitahu, pada 2018, Kelantan merupakan negeri tertinggi dari segi bilangan penagih dadah iaitu seramai 20,178 orang dan negeri kedua tertinggi penagih dadah berbanding populasi penduduk, dengan Pahang di tempat pertama.

“Kelantan mempunyai 13 lokasi yang kita kenal pasti sebagai lokasi panas atau ‘merah’ dan setakat ini, jumlah tersebut masih kekal tanpa sebarang perubahan warna. Kita harap menjelang akhir tahun ini terdapat kawasan yang akan bertukar warna kepada hijau atau sekurang-kurangnya kuning,” katanya. - UTUSAN ONLINE