NORIZAN AWANG
NORIZAN AWANG 

Sebanyak 145 buah rumah telah terbabit dalam pembinaan jalan pakej 3D sejauh 10.5 kilometer dari Kampung Mentara Lama ke Bulatan Bandar ini.

Bagaimanapun hanya 119 buah rumah yang layak mene­rima pampasan kerana mempunyai geran hak milik tanah manakala baki sebanyak 26 rumah lagi tidak mempunyai sebarang surat kebenaran walaupun sudah tinggal di kawasan itu hampir 15 tahun lalu.

Seorang penduduk, Kamarul­zaman Abd. Hamid, 40, berkata, mereka bertegas tidak akan berpindah selagi isu tempat tinggal melibatkan keluarga terbabit diselesaikan.

Katanya, dia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan rumahnya akan dirobohkan pa­da bila-bila masa tetapi perlu ada pertimbangan menyediakan kampung baharu terlebih dahulu.

“Kami sedih selepas menerima notis beberapa bulan lalu supaya mengosongkan kawasan itu kerana kawasan rumah terlibat dengan pembinaan jalan itu.

“Kami risau kerana tidak tahu lagi untuk kami berpindah serta tidak mampu membina rumah baharu,” katanya di sini hari ini.

KAMARULZAMAN ABD. HAMID
KAMARULZAMAN ABD. HAMID 

Norizan Awang, 48, juga mengakui tertekan apabila diarahkan berpindah ke kawasan lain kerana rumahnya turut terbabit dalam pembinaan jalan baharu itu.

Katanya, mereka sekeluarga berharap agar disediakan rumah baharu atau bayaran pampasan sewajarnya.

“Saya tak lena tidur memikirkan keadaan rumah yang dihuni hampir 15 tahun lalu akan dirobohkan bila-bila masa sahaja. Ketika ini jentera dan lori sudah keluar masuk di kampung kami bagi proses pembinaan jalan itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya sedang mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu keluarga berkenaan.

“Setakat ini juga sebanyak 65 daripada 119 rumah sudah dijelaskan pampasan manakala 54 rumah lagi dalam proses pembayaran.

“Pembinaan jalan baharu pakej 3D sudah lama dirancangkan kerajaan bagi menaik taraf jalan menghubungkan jalan baharu dari Merapoh, Pahang ke Gua Musang,” katanya.