Tinjauan Utusan Malaysia men­dapati, projek jalan sepanjang 10 kilometer bernilai RM3.5 juta itu hanya disiapkan kira-kira 3.5 km.

Wakil penduduk Kampung Serian, Ropi Awang Senik, 50, berkata, pada fasa pertama, jalan kampung yang boleh menghubungkan Kampung Kala itu dibina dengan baik tetapi fasa seterusnya terbengkalai begitu sahaja.

“Projek ini diluluskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan ia amat penting kepada penduduk sebagai jalan alternatif untuk ke Kampung Kala, Kampung Pulau Setelu dan seterusnya ke Jeli.

“Selain itu, penduduk juga menggunakan jalan ini untuk ke kebun serta mengeluarkan hasil pertanian mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Rakannya, Ali Hamid, 58, berkata, lebihan jalan sepanjang 6.5 kilometer itu lagi hanya ditimbus dengan batu dan tanah bukit menyebabkan ia sukar untuk digunakan oleh pekebun dan pengguna jalan raya lain.

Katanya, penduduk juga hairan bagaimana jalan itu terbengkalai sedangkan peruntukkan untuk itu dikatakan telah diluluskan kepada sebuah agensi kerajaan.

“Kami nak lalu dengan motosikal pun susah, inikan pula kereta. Hanya kenderaan pacuan empat roda boleh melalui kawasan ini jalan berlubang dan tanah berbatu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Senik, 64, pula berharap projek itu akan disambung kembali demi kepentingan ramai.

Katanya, sepatutnya projek jalan raya sejauh 10 kilometer itu sudah siap dan dapat digunakan dengan selesa oleh penduduk kampung.

“Masalah tersebut telah sekian lama berlarutan dan penduduk kecewa kerana setiap hari terpaksa berhadapan dengan kesukaran terutama ketika hujan lebat.

“Sehingga kini tidak ada sebarang perkembangan positif walaupun penduduk telah membuat aduan kepada agensi terlibat. Kami berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan campur ta­ngan dengan masalah ini,” katanya.