Kedua-duanya, Amirah Sac­kett, 40, dan Mary Mar, 36, adalah antara yang berani menongkah arus memeluk agama suci ini pada saat kebencian kepada Islam di negara Uncle Sam itu seperti tiada kesudahan.

Amirah yang merupakan pengasas kumpulan tarian wa­nita terkenal We're Muslim Don't Panic berkata, dia gembira kerana bebas berjalan ke mana-mana tanpa dipandang sinis kerana tudung yang dipakai.

“Orang di sini kalau memandang kami pun kerana pe­rasaan ingin tahu kerana fesyen hip hop kami dan bukannya memandang akibat curiga jika kami membawa bom atau senjata.

“Kami gembira sangat mendengar azan lima kali sehari di mana-mana tempat kami pergi dan dapat masuk ke banyak restoran tanpa perlu bertanya mereka menyediakan makanan halal atau tidak,” katanya selepas Program The Get Down Session di Sudut Amerika di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini baru-baru ini.

Mereka berdua dalam siri bertemu pelajar serta orang awam di Johor, Kelantan dan Kuala Lumpur untuk berkongsi cabaran yang dihadapi sebagai penganut Islam dan bagaimana hip hop menjadi medium mereka berdakwah bermula 9 Ogos sehingga Sabtu ini.

Dalam pada itu, Amirah yang berasal dari Chicago berkata, dia memeluk Islam pada usia 24 tahun setelah lama terpikat dengan akhlak dan kematangan yang dipamerkan seorang sahabat Muslimnya.

Wanita yang mahir dengan teknik popping iaitu pergerakan seumpama robot ini berkata, dia menyarungkan abaya semasa persembahan dan orang Barat biasanya kagum melihatnya mampu beraksi walaupun menutup aurat.

“Bagi saya reda Allah paling utama, saya pernah ditawarkan untuk membuat persembahan di Las Vegas tetapi penganjur menetapkan perlu memakai pakaian yang tidak sepatutnya bagi seorang Muslimah.

“Saya tolak tawaran itu de­ngan se­dikit rasa se­­dih tetapi rupa-rupanya Allah membuka banyak peluang lain sehingga dapat membuat persembahan ke pelbagai negara di Eropah dan juga Asia seperti Bangladesh dan hari ini saya sampai ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Mary yang merupakan pemenang pelbagai pertandingan breakdance di Amerika dan Kanada pula berkata, tarian hip-hop yang mereka lakukan tidak melibatkan gerakan menjengkelkan mahupun lucah sebaliknya lebih kepada pergerakan fizikal pantas seperti aktiviti sukan.

Wanita berketurunan Kemboja ini berkata, dia memeluk Islam pada tahun 2006 selepas beberapa tahun mengkaji al-Quran yang dianggapnya sebagai mukjizat yang sangat hebat.

“Saya dan suami banyak terlibat dengan program bersama golongan muda dari keluarga kurang berkemampuan di Detroit dan mengajar tarian hip hop sebagai cara menanam disiplin dan keyakinan diri kepada mereka secara percuma,” katanya.