NOOR ATINA SHAKIRA SABARUDIN menunjukkan surat JPN sebagai bukti bakal menerima Mykad dalam masa terdekat.

Nenek Noor Atina, Siti Mariam Awang, 63, berkata, mereka sekeluarga gembira apabila cucunya dapat mengikuti kelas pendidikan khas sekiranya sudah mendapat kad pengenalan.

Katanya, walaupun tidak mempunyai dokumen pe­ngenalan diri sejak dilahirkan cucunya menunjukkan minat untuk belajar.

“Lebih penting bagi mak cik mahu melihat cucu dapat mengikuti kelas pendidikan khas secepat mungkin.

“Ketika ini Noor Atina ha­nya tinggal di rumah bermain bersama rakan-rakannya dan kucing peliharaannya,” katanya di sini baru-baru ini.

Utusan Malaysia sebelum ini mela­porkan Noor Atina Shakira Saba­rud­din ‘dibuang’ ibunya di atas tangga rumah neneknya, Siti Mariam Awang, 63, di Kampung Lembaga di sini ketika berumur empat bulan bersama kad rawatan klinik.

Ketiadaan dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan dikatakan menyebabkan remaja itu sering dipandang serong termasuklah tidak dapat bersekolah serta menerima bantuan sewajarnya.

Tambah Siti Mariam, dia menerima surat pengesahan daripada JPN daerah ini seminggu lalu yang menyatakan proses bagi mendapatkan Mykad cucunya semakin selesai.

Katanya, sebaik menerima surat itu dapat memberi seribu kelegaan dalam hidupnya kerana dapat menyelesaikan masalah cucunya yang dilahirkan tanpa dokumen pengenalan diri.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang sudah mengunjungi rumah kami termasuk pegawai JPN dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi melakukan siasatan.

“Saya juga berharap cucu itu mendapat bantuan daripada JKM sebaik mendapat Mykad nanti untuk perbelanjaan Noor Atina Shakira sendiri,” katanya.