Projek Perumahan Rakyat Kelantan (PPRK) di Kampung Budi, dekat sini, hanya mampu dilihat dalam keadaan terbengkalai sejak lapan tahun lalu.

Seorang pembeli, Zamri Mustafa, 51, berkata, dia membeli rumah tersebut pada harga RM35,000 dengan bayaran bulanan sebanyak RM230 yang pada mulanya dibuat kepada sebuah koperasi.

“Kami difahamkan sehingga kini bayaran itu tidak lagi dibuat atas nama koperasi tetapi kepada individu tertentu yang dipercayai pemilik projek berkenaan.

“Kami kecewa dan serba salah kerana jika pembayaran dihentikan, nama untuk pemilikan rumah berkenaan akan digugurkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, kebanyakan pembeli adalah golongan berpendapatan rendah dan tidak memiliki rumah, tertarik de­ngan tawaran rumah mampu milik tersebut.

Zamri berkata, projek perumahan itu bermula sejak 2010 yang sebahagiannya membeli secara tunai selain pinjaman bank.

Seorang lagi pembeli, Tarmizi Ismail, 50, berkata, keadaan rumah berkenaan terbiar tanpa bekalan elektrik dan air, banyak bahagian bangunan yang rosak termasuk cermin tingkap yang pecah.

Menurutnya, pembeli sudah berusaha mencari jalan penyelesaian namun gagal apabila pemaju dikatakan bertindak mengelak pertemuan dengan pembeli.

“Kami membeli rumah ini kerana ditawarkan pada harga yang murah dan mampu milik, dan tidak pernah memikirkan kesan sebagaimana yang sedang dihadapi sekarang.

“Kami seperti membayar hutang untuk membeli sesuatu yang tidak boleh kami nikmati manfaatnya,” katanya.

Tarmizi berkata, adalah menjadi harapan pembeli agar kerajaan negeri campur tangan dan bertemu dengan pihak berkaitan bagi menyelesaikan segera masalah ini.