Guru Cemerlang Pendidikan Khas SMK Panji K.A Razhiyah berkata, program yang pertama kali diadakan itu bertujuan untuk memberi kemahiran manipulatif menggerakkan motor halus semua pelajar yang terlibat.

Katanya, pelajar-pelajar terbabit terdiri daripada penghidap Sindrom Down, gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), kerencatan akal, autism, palsi serebrum dan perkembangan lewat.

“Kita yakin mereka juga mampu membuat sesuatu perkara serta pekerjaan seandainya diajar dan diberi peluang meskipun mereka merupakan anak istimewa.

“Buktinya, mereka mampu menghasilkan kira-kira 30 balang biskut raya dalam masa satu hari sepanjang waktu persekolahan iaitu bermula 7.40 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di SMK Panji, di sini hari ini.

Antara jenis biskut raya yang dipelajari adalah biskut Almond, Tart nanas dan Florentine.

K.A Razhiyah berkata, biskut yang dihasilkan oleh pelajar juga akan dijual kepada koperasi sekolah ataupun mana-mana individu yang berminat dengan harga RM22 sebalang.


Guru Cemerlang Pendidikan Khas SMK Panji K.A Razhiyah(kanan) melihat pelajar menghasilkan biskut raya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji di sini hari ini.

“Buat masa sekarang, kita telah mendapat tempahan sebanyak 50 balang biskut raya pelbagai jenis yang perlu disiapkan oleh pelajar sendiri menjelang Aidilfitri nanti.

“Hasil jualan itu kami akan gunakan untuk membawa anak-anak ini membuat lawatan pada hujung tahun secara percuma dengan hanya mengunakan hasil jualan yang diperolehi,” ujarnya.


SEBAHAGIAN pelajar sedang membuat adunan biskut raya dalam projek biskut raya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji di sini hari ini. 

Sementara itu, salah seorang pelajar, Nur Syazwani Suhaimi,15, yang tinggal di Kampung Kedai Lalat berkata, pengalaman pertama kali diberi peluang menghasilkan biskut raya itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Sebelum ini, saya tidak pernah dapat membuat biskut raya sendiri. Saya gembira cikgu ajar dan beri peluang untuk saya buat biskut raya sendiri.


SEBAHAGIAN pelajar sedang membuat adunan biskut raya dalam projek biskut raya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji di sini hari ini. 

“Bila sudah pandai nanti, saya mahu membuat biskut raya sendiri di rumah untuk dijual kepada orang ramai, “ kata pelajar mengalami masalah lembam itu. - UTUSAN ONLINE