Khairul Abror Hasibuan yang menuntut di Universitas Gadjah Mada, Yogjakarta berkata, tidak banyak maklumat mengenai negeri ini diketahuinya kecuali pernah terdengar pertuturan dalam loghat Kelantan ketika menonton televisyen.

"Saya diberitahu Kelantan sebuah negeri di Malaysia yang paling Islamik termasuk menguatkuasakan undang-undang Islam. Negeri ini boleh dikatakan agak mirip wilayah Acheh di Indonesia.

"Empat hari di sini, saya boleh katakan Islam di sini bukan ekstrem. Selain kagum melihat rakyatnya yang berpakaian sopan dan berbudi bahasa, Kelantan saya anggap sebuah negeri Melayu yang kaya adat dan terpelihara leluhur," katanya.

Khairul Abror yang merupakan pelajar Sarjana Teknologi Hasil Hutan ditemui dalam sesi 'Luncheon Talk 1st International Summer School 2019 bersama pemimpin Kerajaan Pas Kelantan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Kerajaan negeri diwakili Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Dekan Fakulti Bio-Kejuruteraan dan Teknologi (FBKT) UMK, Prof. Madya Dr. Noor Azlina Ibrahim.

1st International Summer School 2019 merupakan edisi pertama seumpamanya anjuran FBKT dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC).

Pengarah program, Dr. Mohamad Najmi Masri berkata, program berbentuk silang budaya itu bermula 13 hingga 27 Julai melibatkan 20 peserta terdiri daripada penuntut universiti dan pelajar sekolah dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Katanya, selain UMK sebagai tuan rumah, universiti dan sekolah terbabit ialah Universitas Gadjah Mada dan Universitas Bengkalulu di Indonesia; Suratthani Rajabhat University dan Sekolah Menengah Sains (SMS) Jeli.

"Ini program yang dianjurkan bagi menjayakan misi UMK memperkenalkan seni warisan Kelantan dalam kalangan rakyat negara serantau dan fokus diberi terhadap elemen yang boleh melonjakkan industri pelancongan negeri ini.

"Antara aktiviti sepanjang dua minggu ini ialah lawatan di lokasi tarikan utama di Kelantan serta melihat sendiri langkah membuat wau, batik, wayang dan lain-lain serta aktiviti lasak seperti mendaki Gunung Stong dan Gunung Reng," katanya.

Menurut Mohamad Najmi, para peserta juga berpeluang mencuba pelbagai makanan tradisi rakyat Kelantan sepanjang 14 hari program. - UTUSAN ONLINE