Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, Mak Yong telah diiktiraf di bawah ‘Master-Piece of The Oral and Intengible Heritage of Humanity’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada 2015.

Katanya, pengiktirafan seumpama itu bukan sahaja amat membanggakan, malah berjaya meletakkan Kelantan sebagai antara destinasi pilihan pelancong untuk melihat keunikan seni budaya Malaysia.

“Kita memang harap lebih banyak kesenian dari negeri ini menerima pengiktirafan seumpama itu pada masa akan datang.

“Pengiktirafan ini secara tidak langsung membantu memperkenalkan Kelantan, sekali gus membantu akan melonjakkan sektor pelancongan negeri,” katanya pada Malam Kemuncak Festival Kesenian Rakyat Kelate 2018 di Pantai Geting, di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Bakhtiar memberitahu, menurut rekod, lima destinasi paling popular yang menjadi tumpuan pelancong ke negeri ini ialah Pasar Besar Siti Khadijah, Pasar Wakaf Che Yeh, kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor, Dataran Kota Ismail Petra dan Istana Jahar.

“Berdasarkan statistik pada 2017, seramai 5.3 juta pelancong dicatatkan berkunjung ke Kelantan merangkumi 4.5 juta pelancong domestik dan 819,966 pelancong antarabangsa,” katanya.

Dalam majlis itu, Kumpulan Sri Istana dari Tumpat dinobatkan juara pertandingan dikir barat dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala naib juara dimenangi kumpulan Bujang Laksamana dari Pasir Puteh yang menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Festival Kesenian Rakyat Kelate 2018 yang memasuki edisi kedua dianjurkan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kelantan selama tiga hari berturut-turut sejak Khamis lalu.

elain pertandingan dikir barat, antara program menarik sepanjang festival tersebut ialah persembahan kebudayaan dan kesenian, bazar ‘Ore Kito’, permainan wau naik dan gasing, sukan rakyat dan pertandingan Ayam Ratu. - UTUSAN ONLINE