Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pasar tersebut bernilai RM4.5 juta dan merupakan projek yang diusahakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

“Kita memutuskan mewujudkan pasar ini bagi mengumpulkan kira-kira 500 peniaga di sekitar Jalan Binjai supaya mereka dapat menjalankan perniagaan di lokasi lebih strategik dan sistematik.

“Kemudahan disediakan di pasar ini juga bakal memberi keselesaan bukan sahaja kepada peniaga, malah kepada orang ramai yang datang membeli-belah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Pasar Binjai yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Mumtaz Md. Nawi.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya berkata, Pasar Binjai bakal dikenali sebagai Pasar Tok Kenali, iaitu sempena nama tokoh ulama serta ilmuwan agama terkemuka Kelantan, Tok Kenali atau nama sebenarnya, Muhammad Yusof Ahmad.

“Semoga inisiatif diambil MPKB-BRI dan kerajaan negeri ini dapat membantu mengembangkan lagi ekonomi rakyat di kawasan ini, khususnya di kawasan Binjai,” katanya.