Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan bajet yang bertemakan ‘Kelantan Sejahtera Untuk Islam’ itu berkata, kerajaan ne­geri menganggarkan perolehan hasil berjumlah RM636.98 juta manakala perbelanjaan me­ngurus tahun depan dijangka RM679.63 juta.

Katanya, anggaran perbe­lan­jaan pembangunan pada tahun depan adalah berjumlah RM281.61 juta iaitu sebanyak RM191.61 juta dibiayai oleh kerajaan negeri manakala RM90 juta daripada sumber pinjaman.

“Anggaran hasil pada 2017 sebanyak RM636.98 juta menunjukkan peningkatan berbanding 2016 iaitu RM593.80 juta. Namun, kenaikan berkenaan masih tidak dapat menampung kenaikan belanja mengurus,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurutnya, bajet tersebut menjangkakan perolehan da­ri­pada hasil cukai sebanyak RM176.67 juta, hasil bukan cukai (RM308.02 juta) dan terimaan buku hasil (RM149.29 juta).

Katanya, hasil hutan kekal menjadi penyumbang terbesar dengan RM177.20 juta atau 27.81 peratus, meningkat RM4.25 juta yang meliputi royalti kayu-kayan (30 juta), bayaran jabatan hutan (RM22 juta), permit lesen perhutanan (RM1.5 juta) dan premium perhutanan (RM70 juta).

Hasil tanah katanya, menjadi penyumbang kedua terbesar iaitu RM157.91 juta atau 24.79 peratus yang meliputi cukai tanah (RM46.54 juta), premium tanah (RM55 juta), bayaran pendaftaran (RM7.07 juta) dan notis serta denda lewat bayaran cukai (RM6.73 juta).

“Sektor perlombongan menyumbang sebanyak RM70 juta, hasil air, RM13 juta dan terimaan daripada agensi kerajaan berjumlah RM112.48 juta,” katanya.

Tambah Ahmad, anggaran perbelanjaan mengurus 2017 berjumlah RM679.63 juta meningkat RM40.22 juta atau 6.39 peratus berbanding tahun lalu sebanyak RM639.41 juta.

“Dari jumlah tersebut, seba­nyak RM359.52 juta untuk pem­berian dan kenaan tetap, RM194.16 juta (Emolumen), RM109.25 juta (perkhidmatan dan bekalan), RM14.49 juta (aset) dan RM2.21 juta bagi lain-lain perbelanjaan,” katanya.

Ahmad berkata, bagi memperkasakan pembangunan Islam, kerajaan negeri memper­untukkan RM44.06 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) untuk melaksanan pelbagai program keagamaan.

Katanya, kerajaan negeri juga memperuntukkan seba­nyak RM53.71 juta kepada semua Pejabat Tanah dan Jajahan serta Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing, Gua Musang bagi me­nguruskan pelbagai pembangunan.

“Kita juga merancang untuk melaksanakan pembangunan Ru­mah Mampu Milik Kelantan (RMMK) sebanyak 2,136 unit pada tahun depan dan memperuntukan sebanyak RM1.2 juta untuk perkhidmatan bekalan air luar bandar,” katanya.