Papan Majid, 45, kehilangan dua anak iaitu Fayah, 20, dan Safia, 18, dalam krisis kesihatan yang meragut 15 nyawa tersebut.

Selepas mereka meninggal dunia, lelaki itu memastikan dia membawa bersama baju kurung milik mereka setiap kali mahu memasuki hutan.

“Saya mempunyai dua anak perempuan sahaja tetapi kedua-duanya meninggal dunia selang beberapa hari kerana jangkitan penyakit sama.

“Mereka berdua, terutama Fayah rajin membantu keluarga di rumah termasuk memasak dan mengemas. Kehilangan mereka berdua sukar untuk dilupakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Koh, di sini, semalam.

Cerita Papan lagi, dia jarang berada di rumah dan banyak menghabiskan masa di hutan selepas kematian dua anak perempuanya itu.

Katanya, walaupun reda dengan kematian anak, namun hidupnya sejak kebelakangan ini tertekan hingga makan pun tidak berselera.

“Saya peluk dan bawa ke mana sahaja baju anak supaya jiwa saya lebih tenang kerana tidak ada cara lain untuk melepas kerinduan itu

“Di depan mata saya masih terbayang penderitaan mereka ketika bertarung nyawa melawan kesakitan,” katanya. - UTUSAN ONLINE