Mereka bertindak demikian kerana mahu menghalang pekerja syarikat ladang durian Musang King merobohkan sekatan tersebut buat kali kelima.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli negeri, Mustafa Along berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu, pihaknya sedang berkumpul di kawasan sekatan berkenaan sebelum didatangi pekerja ladang.

Katanya, penduduk tempatan segera bertindak de­ngan duduk di atas hala­ngan kayu yang dibuat bagi menghalang pekerja ladang itu melalui kawasan tersebut.

“Usaha kami berhasil apabila pekerja ladang durian Musang King tidak merobohkan hala­ngan kami.

“Selama setengah jam kami duduk di atas halangan itu dan pekerja ladang mengalah, mereka berpatah balik tanpa mero­sakkan halangan kami,” katanya di sini.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Aban Anjang, 90, berkata, mereka akan mempertahankan sekatan sehinggalah kerajaan Pas Kelantan mendengar tuntutan tanah adat yang dibuat mereka.

Katanya, sekatan merupakan jalan terakhir untuk mempertahankan baki hutan di kampung daripada terus diceroboh oleh aktiviti pembalakan, perlada­ngan dan perlombongan.

“Rintihan kami yang memperjuangkan hak tanah sejak lapan tahun lalu tidak pernah didengar.

“Kami akan terus membuat sekatan walaupun sedar usaha kami itu telah diperlekehkan oleh sesetengah pihak,” katanya.

Pada hujung bulan lalu Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri melakukan operasi bersepadu meroboh tiga sekatan laluan ba­lak yang dibina kaum Orang Asli.

Tiga sekatan itu ialah di Kampung Kaleeg, Pos Tohoi di Kampung Cawas, Pos Bihai dan di Kampung Kuala Wok, Pos Pasik bagaimanapun, penduduk Orang Asli bertindak nekad membina semula halangan baharu beberapa hari selepas itu sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri yang enggan mengiktiraf tuntutan tanah adat mereka.