Sebahagian besar mereka yang merupakan peserta Orang Asli bertindak membuat tuntutan itu kerana kegagalan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Risda Plantation Sdn. Bhd. membayar tunggakan dividen hasil ladang itu sejak empat bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Ber­­tindak Tuntutan itu, Ajom Alang, 67, mendakwa peserta Orang Asli kini berdepan de­ngan pelbagai masalah perbelanjaan kerana kegagalan pihak berkenaan membayar tunggakan dividen sebanyak RM550 sebulan.

Katanya, masalah itu sudah beberapa kali dikemukakan kepada pihak terbabit menerusi penyerahan surat tuntutan, namun tidak dilayan sehinggalah mereka mengambil keputusan untuk mengadakan demonstrasi.

“Kami menganggap mereka sudah gagal menguruskan ladang tersebut kerana tidak dapat membayar tunggakan dividen selama empat bulan kepada peserta.

“Peserta sudah bersepakat jika tunggakan dividen itu tidak dibayar, kami akan masuk ladang untuk bekerja sendiri,” katanya ketika mengadakan demonstrasi di ladang sawit RPS Kuala Betis, di sini hari ini.

Seorang peserta, Luwi Siam, 54, pula berkata, kebanyakan peserta yang bergantung kepada pendapatan dividen ladang sawit itu setiap bulan kerana sudah tidak mampu menanggung kos perbelanjaan bulanan yang kian tertunggak.

Katanya, ada rumah peserta juga tertunggak bayaran bil elektrik sehingga melebihi RM1,000 dan menunggu untuk dipotong gara-gara ketiadaan wang.

Seorang lagi peserta Uda Adek, 60, pula berasa sedih de­ngan keadaan yang berlaku kerana masyarakat Orang Asli hanya bergantung kepada dividen itu untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Katanya, ladang sawit itu yang dibangunkan sejak 1987 menerusi Tanam Semula Kelompok (TSK) Orang Asli menjadi sumber pendapatan Orang Asli sejak sekian lama.

“Bagaimanapun keadaan ladang tidak dijaga dengan baik sehingga dinaiki semak-samun. Kami berharap pihak berkenaan prihatin terhadap kami dan menyelesaikan segera masalah ini,” katanya.