Pada bulan November dan Disember setiap tahun, Orang Asli merasakan keperitan apabila mereka terpaksa menempuh jalan berselut, jambatan rosak dan perjalanan panjang mele­bihi kebiasaan untuk keluar ke bandar Gua Musang.

Antara jalan perhubungan balak yang rosak teruk setiap tahun membabitkan laluan ke Pos Balar, Pos Pasik, Pos Simpor, Pos Tohoi, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Hau, Pos Belatim dan Kuala Wook.

Seorang penduduk Orang Asli dari Pos Balar, Alang Anjang, 55, berkata, sejak puluhan tahun lalu penduduk Orang Asli bergadai nyawa setiap kali musim hujan kerana masalah perhubu­ngan jalan licin dan berselut.

“Situasi itu terpaksa ditempuh setiap tahun kerana jalan di kampung kami masih bertanah batu dan tidak berturap.

“Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kami apabila terpaksa bermalam di kawasan hutan akibat kenderaan tersekat dalam lumpur, tayar rosak, rantai motosikal putus dan kehabisan minyak,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Pos Tohoi, Zainal Chali berkata, pihaknya sudah berusaha menghantar laporan masalah jalan rosak di kawasan kampung Orang Asli yang bermasalah.

Katanya, kerosakan jalan balak bertambah kritikal apabila tiada lagi syarikat balak masuk beroperasi di kawasan mereka.

“Kami barisan penghulu Orang Asli negeri Kelantan telah membuat perbincangan dengan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Ajis Sitin mengenai masalah jalan yang berlaku di kampung kami.

“Beliau mengambil serius perkara ini dan telah masuk ke kampung Orang Asli sehingga ke kawasan Pos Gob untuk melihat sendiri keadaan jalan baru-baru ini. Kita berharap masalah ini dikemukakan kepada pihak kerajaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, aktivis Orang Asli, Nasir Dollah berkata, 95 peratus masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman terjejas dengan masalah jalan rosak.

Beliau yang juga wakil Orang Asli bagi Ahli Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri berharap kerajaan baharu peka dengan masalah itu dan dapat menyediakan kemudahan asas yang selesa kepada Orang Asli termasuklah jalan berturap.