Dalam bantahan itu, penduduk meluahkan kebimbangan jika kegiatan pembalakan seluas 50 hektar itu diteruskan akan menyebabkan kepupusan sumber hutan serta kawasan sungai berhampiran tercemar.

Mereka mendakwa nengalami kerugian yang besar akibat kemerosotan hasil hutan, kehilangan punca air bagi kegunaan harian serta pencerobohan gajah disebabkan habitatnya musnah.

PENDUDUK Orang Asli suku kaum Temiar yang tinggal di Kampung Angkek dan Podek
PENDUDUK Orang Asli suku kaum Temiar yang tinggal di Kampung Angkek dan Podek 

Penghulu Kampung Angkek dan Podek, Damak Angah berkata, pihaknya kesal apabila kegiatan pembalakan itu tetap dijalankan walaupun penduduk telah mengemukakan surat bantahan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan negeri pada bulan Februari tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun tiada maklum balas daripada pihak berkenaan sehinggalah syarikat pembalakan memulakan kerja meneroka tanah sejak sebulan lalu.

“Jika aktiviti pembalakan diteruskan 80 keluarga Orang Asli akan kehilangan sumber pendapatan daripada hasil hutan akibat kemusnahan kawasan berkenaan.

“Kita mungkin akan membuat sekatan untuk halang lori dan jentera masuk selepas ini jika pihak pembalak masih berdegil,” katanya.

Angah Anjang, 50, pula berkata, kegiatan pembalakan yang diluluskan itu akan memudaratkan kehidupan generasi Orang Asli akan datang.

Katanya, anak cucu Orang Asli juga akan kehilangan adat tradisi mereka yang bergantung kepada sumber hutan.

Sementara itu, Nora Kantin, 23, pula sedih dengan pencerobohan aktiviti pembalakan yang sering berlaku di kawasan kampung Orang Asli di hulu negeri ini.

“Kita buat bantahan sekeras-kerasnya kerana kami takut kehilangan tanah adat kami dan sumber kehidupan kami masyarakat Orang Asli akan terus pupus,” katanya. - UTUSAN ONLINE