Penghinaan itu dibuat oleh seorang pemilik akaun Facebook dikenali sebagai ‘Bismi Shah’ yang memberi komen dan membuat pelbagai kritikan tidak bermoral terhadap kaum Orang Asli sejak beberapa hari lalu.

Laporan polis itu diketuai Pengerusi Pembangunan Orang Asli Malaysia Cawangan Kelantan, Nasir Dollah kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Nasir berkata, Orang Asli yang membuat laporan itu mewakili masyarakat pribumi itu di Pos Balar; Pos Ber; Pos Tuel; Pos Bihai; Pos Simpor; Pos Tohoi; Pos Brooke; Pos Gob; Pos Pasik; Pos Pulat dan Kuala Betis.

Katanya, laporan polis itu dibuat selepas mereka merasa kecewa dengan sikap pemilik akaun terbabit yang menghina kaum Orang Asli.

“Kita sebagai rakyat sama taraf bumiputera di negara ini tidak sepatutnya membuat penghinaan sebegitu rupa terhadap kaum lain.

“Kaum Orang Asli dilihat tidak dihormati sedangkan negara ini mempunyai rakyat berbilang kaum yang sepatutnya menghormati antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di sini hari ini.

Seorang penduduk dari Kampung Lambok, Kuala Betis, Nora Kantin, 32, pula berkata, mereka juga mempunyai hati dan perasaan dan tidak dapat menerima penghinaan sedemikian.

“Kita meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan kaum lain.

“Kami sebagai Orang Asal juga tidak mahu perkara yang menyakitkan hati kaum kami ini berulang,” katanya. - UTUSAN ONLINE