Sejak dua minggu lalu, mereka yang kebanyakannya diserang penyakit kulit bersisik lebih suka tinggal di tepi Sungai Pertang, Aring.

Tinjauan di kampung itu mendapati hanya tinggal kira-kira tujuh keluarga sahaja di kampung berkenaan dan kebanyakan penduduk tinggal dalam bangsal serta khemah di tepi sungai yang lebih selesa.

Seorang penduduk, Yahya Ong, 35, berkata, penduduk telah membina bangsal atau khemah sementara di kawasan tersebut kerana suasana lebih sejuk kerana dipenuhi pokok menghijau.

 

Katanya, penempatan suku kaum batek di kampung itu terdedah dengan cuaca panas melampau sejak sebulan lalu.

“Kebanyakan penduduk yang terkena penyakit kulit tidak tahan dengan cuaca panas sehingga mereka perlu mandi sungai secara kerap.

 

“Bukan sahaja orang dewasa merasa kepedihan apabila kulit terdedah cuaca panas sehingga berpeluh, tetapi kanak-kanak juga kerap menangis. Mereka juga diserang penyakit demam dan batuk,” katanya di sini hari ini.

 

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Jambu Along, 55, berkata, kebanyakan penduduk lebih suka tinggal di tebing sungai itu walaupun terpaksa berjalan kaki lebih tiga kilometer dari rumah asalnya di kampung berkenaan.

Katanya, penduduk berpindah ke kawasan tepi sungai itu hanya sementara sahaja dan pulang semula ke kampung asal apabila keadaan cuaca panas reda.

“Walaupun tinggal secara terbuka dalam bangsal dan khemah di tepi sungai itu, kami tetap menjaga kesihatan apabila tidur dalam kelambu bagi mengelak digigit nyamuk.

“Terdapat juga penduduk kampung itu berpindah terus ke dalam hutan kerana mereka mudah mencari makan termasuk memburu haiwan dan tumbuhan herbal,” katanya. - UTUSAN ONLINE