Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, pihak Jakoa akan menyediakan kenderaan supaya proses kepulangan penduduk ke kampung mereka berjalan lancar.

Katanya, laporan rekod kesihatan penduduk Orang Asli terlibat bertambah baik dan mereka disahkan bebas daripada jangkitan penyakit demam campak.

“Kita berterima kasih kepada semua agensi yang membantu Orang Asli selepas mereka menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai.

“Mereka sudah sihat dan bersemangat untuk pulang ke kampung memulakan kehidupan baharu bersama ahli keluarga,” katanya.

Tambah Hashim, suasana persekitaran kampung juga selesa apabila lebih bersih selepas diadakan gotong-royong besar-besaran oleh pelbagai agensi, semalam.

“Mengikut rekod, Kampung Kuala Koh mempunyai 56 keluarga atau 186 penduduk. Mereka akan pulang dan memulakan kehidupan biasa minggu hadapan.

“Jakoa akan terus memantau serta memberi kesedaran tentang kehidupan yang lebih baik kepada penduduk Orang Asli suku Bateq yang mengamalkan cara hidup separa nomad ini,” katanya.

PPS Etnobotani itu dibuka sejak 18 Jun lalu dan dikatakan jumlah pesakit Orang Asli suku Bateq ditempatkan di situ bertambah setiap hari.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, kem PLKN Etnobotani akan digunakan sebagai PPS bagi menempatkan Orang Asli yang telah dibenarkan keluar dari hospital untuk pemantauan tahap kesihatan mereka.

Sementara itu, seorang wanita Orang Asli, Ani Ong, 35, pula berkata, dia tidak sabar untuk bertemu suami dan dua anak selepas dua bulan mendapat rawatan di hospital dan dikuarantin di PPS Etnobotani.

Katanya, dia gembira apabila menerima berita suaminya, Dollah Pen, 35, bersama dua anak lelaki bakal dibenarkan pulang Ahad ini. - UTUSAN ONLINE