Tinjauan di kawasan tepi Sungai Lubuk Kucing itu mendapati terdapat sebanyak empat khemah didirikan disitu dan dikatakan didiami 10 penduduk sejak awal bulan ini.

Salah seorang daripada mereka, Kulim Tebu, 72, berkata, dia membina khemah di kawasan itu kerana mahu melupakan tragedi 15 kematian penduduk Kampung Kuala Koh termasuk dua cucunya.

“Ini merupakan perpindahan kali keenam dilakukan di tempat baharu selepas tragedi menimpa cucu saya.

“Bagaimana, perpindahan ke tempat baharu ini belum ramai lagi kerana kebanyakan penduduk baru dibenar pulang ke rumah selepas dikuarantin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Pikas Langsat, 35, pula berkata, mereka bukan menetap selamanya di pinggir hutan itu dan akan pulang semula ke rumah di kampung asal bulan depan.

Katanya, mereka berasa selamat tinggal di situ kerana boleh menggunakan punca air sungai berhampiran Taman Negara.

“Perjalanan ke tempat perpindahan baharu mengambil masa sejam berjalan kaki dan di sini juga mudah mendapat air bersih untuk minum.

“Sudah menjadi kebiasaan dan adat kami berpindah serta tinggal sementara di khemah apabila berlaku kematian samada ahli keluarga sendiri atau jiran,” katanya.

Selasa lalu, seramai 173 penduduk Orang Asli suku kaum Bateq yang dikuarantin di PPS Etnobotani selama 36 hari selamat pulang ke kampung halaman mereka di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, di sini.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, semua penduduk Orang Asli suku Bateq dihantar pulang ke rumah selepas disahkan sihat dan bebas daripada jangkitan wabak demam campak oleh Jabatan Kesihatan. - UTUSAN ONLINE