Masalah bermula apabila Mohd. Fauzi Hassan, 50, berkahwin dengan isteri, Anita Abdul Rahman, 41, seorang warga Indonesia di Yala, Thailand pada 2007 namun gagal mendaftarkan perkahwinan mereka kerana tidak mempunyai wang untuk membayar denda sebanyak RM400.

Sehubungan itu, usaha mendapatkan sijil kelahiran ketiga-tiga anak mereka menemui jalan buntu sehingga kini biarpun kesemua kanak-kanak tersebut dilahirkan di negeri ini.

Ketiadaan dokumen penting itu menyebabkan dua daripada anaknya, Nurul Syafiqah, 9, dan Nurul Natasha, 8, gagal mengikuti sesi pembelajaran di sekolah kerajaan sebagaimana rakan sebaya mereka.

Sementara itu, anak bongsu, Mohd. Fitri Syawal, 6, dikhuatiri berdepan nasib sama kerana turut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menurut Mohd. Fauzi, anak sulung, Nurul Syafiqah dan anak bongsu, Mohd. Fitri Syawal dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), manakala anak kedua, Nurul Natasha, 8, dilahirkan di Hospital Tanah Merah.

“Selepas berkahwin dengan isteri di Yala, Thailand pada 2007, saya telah pergi ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk mendaftarkan perkahwinan kami secara sah.

“Namun mereka meminta saya membayar denda sebanyak RM400. Saya tidak dapat melunaskan bayaran itu disebabkan upah sebagai penjual buah dan sayur hanya cukup makan,” katanya yang menetap di belakang Man Lundang, Jalan Sultan Yahya Petra, di sini.

Mohd. Fauzi merupakan OKU yang mempunyai kecacatan fizikal di kaki dan kekurangan itu menyebabkan dia tidak boleh berdiri lama atau berjalan jauh.

Dia dalam pada itu memberitahu, selepas mendapat cahaya mata pertama, mereka berusaha menyelesaikan isu yang tertangguh tersebut namun masih gagal gara-gara sijil perkahwinan dikeluarkan oleh pihak berkuasa Yala hilang dari simpanan.

“Sejak itu, kehidupan tiga anak saya boleh diumpamakan seperti pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana ketiadaan sijil kelahiran yang sah.

“Memburukkan lagi keadaan isteri saya, Anita kini berada dalam tahanan Jabatan Imigresen selepas pasport miliknya didapati tamat tempoh sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Mohd. Fauzi berkata, Anita pada mulanya ditahan pihak berkuasa selepas dituduh mencuri namun dia akhirnya didapati tidak bersalah.

“Tetapi dia tetap ditahan kerana didapati tinggal secara haram di negara ini memandangkan pasportnya telah tamat tempoh. Saya tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah kami sekeluarga,” rintihnya. - UTUSAN ONLINE