Anak bongsu tiga beradik itu dilahirkan dengan kepala besar selain dikesan mengalami masalah kabur penglihatan akibat ‘hydrocephalus’ atau penyakit lebihan cecair dalam otak ketika berusia dua bulan.

Akibat masalah itu, pasangan tersebut perlu menyediakan keperluan seperti susu khas serta lampin pakai buang dengan kos tinggi mencecah RM500 sebulan, sedangkan gaji Elias hanya RM1,000 sebulan manakala Nik Ishazalwani pula tidak bekerja.

Nik Ishazalwani, 35, berkata, Nur Fikriyah tidak mampu bergerak atau merangkak sebagaimana bayi seusianya menyebabkan dia memerlukan perhatian dan jagaan rapi pada setiap masa.

Katanya, akibat masalah kesihatan bayi mereka itu, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu di stesen minyak berdekatan.

“Doktor menyarankan kami supaya berikan Nur Fikriyah susu jenis Dumex Dupro Post Discharge ekoran beratnya tidak seiring dengan umur, tapi kami tak mampu beli susu itu kerana harganya agak mahal.

“Kami sekeluarga terpaksa mengikat perut demi anak bongsu. Susu dia sahaja mencecah RM21.90 bagi 400 gram dan hanya mampu bertahan tiga hingga empat hari sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah sewa mereka, di sini baru baru ini.

Pasangan itu juga perlu menyara dua lagi anak mereka iaitu Nur Fakhira, 8, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkal Gong serta Nur Faqihah yang berusia empat tahun selain perlu membayar sewa rumah RM150 sebulan.

Nik Ishazalwani dalam pada itu berkata, anaknya sudah menjalani dua pembedahan membuang lebih air di dalam kepala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Pembedahan pertama untuk menebuk bahagian kanan serta kiri kepalanya dibuat Oktober tahun lalu. Januari tahun ini sekali lagi pembedahan dilakukan untuk memasukkan wayar di dalam kepala untuk membuang lebih cecair di dalam kepala.

“Saya bersyukur, kini kepalanya semakin mengecil selepas pembedahan kali kedua itu,” ujarnya.

Tambahnya, dia telah berusaha memohon mendapatkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.

Orang ramai yang ini menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank 162106809571 di atas nama Nik Ishazalwani Ismail. - UTUSAN ONLINE