Jurulatih paramotor, Mohd Hanafi Daud, 46, berkata, ketika dia bersama rakan-rakannya dalam perjalanan menghantar bantuan ke Gua Musang, mereka melalui satu kawasan di Kuala Krai dan terkejut melihat seorang budak lelaki sedang menyelongkar tong sampah di tepi jalan untuk mencari makanan.

“Matanya bergenang ketika dihulurkan sebungkus roti sambil berkata ‘abe , kita tak apa tak make tapi ayah kita sakit tak make lagi’ (abang, saya tidak mengapa tidak makan, tetapi ayah saya sakit dan belum makan apa-apa lagi), dia membawa kami ke kebun sawit tempat keluarganya berlindung.

“Kami dapati kaki ayahnya cedera tertusuk kaca dan sudah beberapa hari tidak dapat berjalan, lukanya hanya dirawat de­ngan daun kapal terbang, kami segera menghantarnya ke hospital,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd Hanafi, penga­lamannya menyaksikan sendiri pelbagai penderitaan mangsa banjir menjadi faktor dia kemudiannya memilih bertugas sepenuh masa dengan Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) yang berpangkalan di USM Kubang Kerian yang turut menjalankan misi bantuan hingga ke Pulau Pinang dan Thailand.

“Ketika ‘bah kuning’ saya baru balik ke Kelantan dua tahun setelah lama berada di Kuala Lumpur untuk mendedahkan belia di negeri ini kepada sukan paramotor.

“Apabila rumah saya di Kampung Budi, Tawang di Bachok tenggelam, kenderaan pacuan empta roda jenis Mitsubisihi Pajero saya menjadi rumah kedua selain digunakan bagi menghantar bantuan banjir sumba­ngan orang ramai ke merata tempat,” katanya.

Mohd. Hanafi yang mempu­nyai tiga anak berusia 10 sehingga 15 tahun daripada perkahwinan sebelum ini berkata, bah kuning juga membawa pertemuan jodoh kali keduanya dengan Wan Nor Aziemah Wan Zainuddin, 30, seorang Pegawai Sains Universiti Sains Malaysia (USM), setelah lama menduda.

“Kami berdua sebagai sukarelawan bukan sahaja kini dalam keadaan siap siaga menghadapi musim tengkujuh bahkan sedang berdebar menunggu kelahiran anak kami pada Januari tahun hadapan.

“Saya pertama kali bertentang mata dengan Wan Nor Aziemah dalam kenderaan pa­cuan empat roda semasa sama-sama menghantar bantuan ke Gua Musang, kami berkahwin pada Disember 2016 dan saya terharu isteri memilih saya walaupun saya sebenarnya ha­nya bersekolah setakat darjah enam,” katanya.