Ketua Kumpulan, Diami Yusoff, 64, berkata, mereka menghabiskan masa enam jam menyelesaikan urusan imigresen di Al Batha namun ia bukanlah sesuatu yang perlu dirungutkan kerana mereka kini berada di bumi terletaknya tanah Haramain iaitu Mekah dan Madinah.

Pesara kerajaan ini berkata, mereka menjangka akan sampai ke Mekah dalam tempoh lima hari lagi iaitu selepas menempuh laluan Riyadh dan Madinah terlebih dahulu.

“Alhamdulillah. kami sudah melepasi halangan besar untuk masuk ke Arab Saudi melalui jalan darat dengan motosikal.

“Walaupun mengambil masa selama enam jam, semua urusan di sempadan berjalan lancar dari imigresen, kastam, permit kenderaan melalui sempadan, insurans. semuanya selesai tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Diami bersama dua rakannya, Mohd Zalani Zulkifli, 64 dan Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40, menunggang motosikal kapcai 135cc dari Kota Bharu menuju Mekah bermula 3 November lalu semata-mata untuk mengecap ‘nikmat’ kepayahan orang Islam di Nusantara terdahulu berusaha menunaikan ibadah haji dan umrah.

“Kami terharu kerana terdapat empat orang sahabat penunggang motosikal rakyat Malaysia sanggup mengiringi perjalanan kami dari Abu Dhabi, UAE sehingga sampai ke sempadan di Al Batha sebelum disambut tiga lagi rakan penunggang di sebelah Arab Saudi yang menunggang 400 kilometer dari Jubail untuk bertemu kami,” katanya.

Hari ini adalah hari ke 72 misi mereka menuju Mekah iaitu 12 hari lebih lewat daripada jangkaan asal kerana sedikit kerumitan mendapat kelulusan visa umrah.

Diami berkata, beliau yakin urusan mereka akhirnya dipermudahkan berkat doa daripada semua.

“Penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kami kepada Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra; Kerajaan Negeri Kelantan; Kerajaan Persekutuan; Wisma Putra; Konsul Jeneral Malaysia di Dubai; kelab-kelab motosikal; keluarga dan seluruh pihak yang menyokong kami selama ini,” katanya. UTUSAN ONLINE