Yang Dipertua MDPP, Mohd. Anis Hussein berkata, taman rekreasi itu akan dibina di kawasan seluas lapan hektar di Bukit Gedombak dekat sini itu turut dilengkapi dengan trek jogging, gelanggang sepak takraw, kiosk jualan, dewan dan jeti rekreasi air.

Menurutnya, bekas tapak pelupusan sampah sementara itu ditebus semula untuk dijadikan taman rekreasi bagi meningkatkan imej bandar ini sebagai daerah yang kedua memiliki taman awam selepas Kota Bharu.

‘Keindahan flora dan fauna serta struktur alam semulajadi itu bakal menjadi tumpuan awam untuk bersantai, beriadah dan merehatkan minda bersama ahli keluarga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri Pejabat Tanah dan Jajahan dan MDPP, di sini, baru-baru ini.

Mohd. Anis yang juga Ketua Jajahan Pasir Puteh turut me­nyampaikan sumbangan kepada anak-anak istimewa dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan kelas berkeperluan khas.

Beliau berkata, dalam usaha mencapai status MPPP, pihaknya memerlukan sokongan seluruh masyarakat di daerah ini untuk melaksanakan pelan pembangunan demi kebaikan bersama.

“Ini termasuk Projek Pertumbuhan Pasar Komuniti Bandar Baharu Cherang Tuli dengan kerjasama syarikat Northern Coral Sdn. Bhd., yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 86 hektar di Mukim Padang Pak Amat yang sudah diluluskan untuk dibangunkan.

“Menerusi projek ini sebanyak 1,500 unit kediaman pelbagai kos, lot perniagaan, pasar ke­ring, pasar basah, perhentian bas dan teksi, dewan, surau, dataran awam dan kawasan lapang serta permainan akan disediakan.

“Ia pastinya akan membawa kepada pertumbuhan kawasan baharu yang maju selain memberi impak pembangunan yang akan diwujudkan di Tok Bali,” katanya.

Tambah beliau, Pasir Puteh Sentral yang bernilai RM100 juta yang menempatkan pasar, terminal bas dan teksi, kedai, pejabat dan pasar raya juga menjadi sandaran penduduk untuk menjana pertumbuhan ekonomi menerusi pelbagai bidang perniagaan.