Pada masa lampau masjid itu hanya dibina daripada kayu dan papan yang menjadi tempat penduduk solat berjemaah, menuntut ilmu agama dan pusat pertemuan komuniti setempat selain menjadi tempat persinggahan peniaga yang berdagang.

Pengelola dana Masjid Al-Husna, Wan Mohamad Iskandal Wan Deraman berkata, masjid itu adalah peninggalan orang-orang terdahulu dan mengikut sejarah yang diceritakan ianya dibina melalui inisiatif serta semangat gotong-royong penduduk tempatan.

Katanya, difahamkan batu-bata untuk membina masjid itu diambil dari Pulau Perhentian, Besut, Terengganu menggunakan perahu layar.

“Generasi silih berganti menjadikan masjid ini sebagai tempat berkomuniti dan sebagai lambang utuhnya perpaduan sehingga ke zaman Allahyarham Imam Sulong Taib yang lebih dikenali sebagai Tok Imam Long yang terletak kira-kira satu kilometer dari sini.

“Pada zaman Tok Imam Long, masjid ini mengalami perubahan ketara selepas diletakkan di bawah pengurusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” katanya di sini hari ini.

Wan Mohamad Iskandal berkata, sebelum ini, masjid ini adalah Masjid Mukim yang diadakan solat Jumaat sebelum terbinanya Masjid Al-Taqwa pada 1986 yang dirasmikan Sultan Kelantan pada waktu itu, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

“Imam Sulong yang bertugas di Masjid Al-Taqwa pada ketika itu masih menggunakan ruang di Masjid Al-Husna pada masa lapang untuk memastikannya terus hidup dan diimarahkan oleh penduduk sekitarnya apabila taraf dan statusnya hanyalah sebagai masjid iktikaf sahaja,” katanya.

Wan Mohamad Iskandal berkata, cetusan idea untuk membaik pulih Masjid Al-Husna dalam edah kesepiannya selepas Masjid Al-Tawqa dijadikan sebagai masjid mukim disuarakan oleh Allahyarham Tok Guru Haji Din Derdaq yang datang menyampaikan kuliah di Masjid Al-Husna setiap malam Khamis dari 1987-2015.

“Tok Guru Haji Din Derdaq mencadangkan masjid lama ini sebagai Masjid al-Husna dan pengisytiharan membaik pulih semula dilancarkan pada solat sunat Aidilfitri 2012. Namun, setelah hampir tiga tahun pengumuman dibuat, tiada sambutan daripada penduduk tempatan kerana kekangan sumber kewangan.

“Saya memegang amanah Tok Guru Haji Din yang meminta saya memberi perkhidmatan bagi memastikan masjid bersejarah ini te­rus hidup dan diimarahkan dengan pelbagai aktiviti dan pendekatan,” katanya.

Bagi merealisasikan hasrat ini, katanya, pada Januari 2016 telah dibina tandas muslimin dan muslimat yang baharu dan selesa hasil daripada sumbangan ahli jemaah dengan menelan perbelanjaan sebanyak RM25,000.

Manakala, pada penghujung bulan Februari 2016, kenduri besar-besaran diadakan di masjid berke­naan untuk memungut derma ba­gi membaik pulih masjid dan hasil sumbangan yang diperoleh mencecah RM45,000.

Hasil sumbangan dermawan itu­lah tertegaknya Masjid Al-Husna dengan imej dan wajah baharu sebagai mercu tanda Pekan Cherang Ruku dekorasi sebuah masjid hasil daripada sumbangan orang ramai tanpa ada peruntukkan daripada mana-mana badan kerajaan atau swasta dengan kos pembinaan menelan hampir RM1.2 juta.

Inilah sejarah pembangunan Masjid Al-Husna sehingga ke tarikh ini dan dana masih diperlukan hampir RM150,000.00 lagi untuk menyiapkan pembangunan yang masih tertangguh. Sumba­ngan bo­leh disalurkan menerusi akaun 03090010051955 Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Masjid Al-Husna atau hubungi 0139977102 (Cikgu Wan Iskandal).