Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua bot nelayan Vietnam tersebut ditahan dalam dua operasi berasingan di lokasi 220 hingga 222 kilometer dari Kuala Tok Bali pada pukul 9.30 pagi dan 10.40 pagi.

Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan sebuah bot yang melibatkan 12 orang awak-awak termasuk tekong manakala tangkapan kedua pula melibatkan sebuah lagi bot bersama dua awak-awak.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot berkenaan tidak mempunyai permit yang sah yang dikeluarkan Ketua Pengarah Perikanan Malaysian untuk menangkap ikan di perairan negara.

“Kesemua tekong dan awak-awak yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 51 tahun juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata, kedua-dua bot dipercayai menyasarkan kawasan berhampiran sempadan ZEE negara supaya boleh mengelak dan lolos ke perairan Vietnam apabila dikejar penguatkuasa.

Menurutnya, kedua-dua bot kini disita dan nelayan terbabit akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Nurul Hizam berkata, Maritim Malaysia Kelantan turut bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam menjayakan operasi membanteras dadah yang membabitkan nelayan secara berterusan.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, satu operasi bersepadu bersama AADK telah dilaksanakan dan pihaknya berjaya mengesan seorang nelayan warga Thailand di sekitar Tok Bali yang positif pil kuda selepas ujian air kencing dijalankan. - UTUSAN ONLINE