Mohd. Azli Hisyam Abdul Ghafar, 25, yang berasal dari RKT Paloh 3 di sini umpama seorang selebriti apabila tidak berhenti melayan orang ramai untuk bergambar kenangan dengannya.

Beliau yang pernah menerima sijil daripada Malaysia Book Of Records sebagai manusia tertinggi di Malaysia turut bergambar kenangan bersama Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Datuk Sazmi Miah.

Mohd. Azli Hisyam berkata, ketika ini dia berehat di kampungnya kerana masih belum sihat sepenuhnya selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di kepala pada bulan Oktober tahun lalu.

Bekas pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Alor Setar, Kedah yang mengambil kursus bahagian penyaman udara itu memberitahu, dia setakat ini masih belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan biarpun sudah beberapa kali menghadiri temuduga.

“Saya masih menganggur dan sekarang ini membantu bapa berniaga di kedai makan di sini.

“Saya akui susah untuk mendapat pekerjaan dengan ketinggian yang dimiliki dan mungkin saya akan ceburi bidang perniagaan sendiri selepas ini,” katanya.

Mohd. Azli Hisyam mengakui dia sentiasa menarik perhatian orang ramai sejak zaman sekolah lagi kerana ketinggiannya luar biasa daripada remaja lain di negara ini.

Katanya, menjadi orang tinggi tidak sama seperti orang lain apabila kasut dan setiap pakaiannya perlu ditempah dengan tukang jahit.

“Baju saya perlu labuh walaupun bersaiz 4 XL. Saiz kasut saya pula ialah 16.

“Saya bersyukur kerana dilahirkan dalam keadaan normal walaupun hanya ketinggian agak luar biasa,” katanya yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik.

Tambah Mohd. Azli kehidupannya juga tidak sama seperti manusia normal lain apabila dia cepat berpeluh sekiranya berdiri agak lama dan mempunyai katil tidur yang dibina lebih panjang. - UTUSAN ONLINE