Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, satu jawatankuasa khas telah dibentuk untuk menilai lebih lanjut perkara itu.

“Kita memang ada buat penilaian terhadap Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan termasuk persembahan Makyong dan panel penilaian ini terdiri daripada mufti serta ulama.

“Kita mahu memastikan ia persembahan yang patuh syariah. Insya-Allah jika menepati syarat, kita tidak ada halangan tetapi jika bertentangan syariah, (larangan) itulah pendirian kita kerajaan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) dalam sesi soal-jawab lisan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Syahbuddin bertanyakan pendirian kerajaan Pas Kelantan berhubung gesaan wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya menarik balik pengharaman Makyong dan wayang kulit demi kelangsungan seni warisan budaya Melayu.

Menurut Karima Bennounce yang merupakan Pelapor Khas PBB dalam bidang budaya, dalam situasi sekarang, jika penggiat kesenian tersebut meninggal dunia, seni itu juga akan ‘mati’ bersama-sama mereka. - UTUSAN ONLINE