Pengerusi VIC, Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata, program jamuan asnaf itu adalah kali kedua diadakan dengan melibatkan penduduk miskin bandar dan kawasan pinggirnya.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan penghulu dan pengurusan sekolah supaya asnaf yang terlibat tampil untuk menikmati makanan yang ditaja selain menerima agihan sumbangan yang disediakan.

“Di antara asnaf yang terlibat ialah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Peir Cheh; SK Islah, SMK Dato’ Ahmad Maher dan pelajar Maahad Pengajian Islam sekitar bandar ini.

SEBAHAGIAN bapa dan anak-anak memilih keperluan yang disediakan VIC
SEBAHAGIAN bapa dan anak-anak memilih keperluan yang disediakan VIC 

“Kehadiran mereka diiringi ibu bapa masing-masing dan kami turut mengagihkan seluar sekolah, telekung, kain pelikat, tudung, baju terpakai yang masih baharu serta menyediakan khidmat gunting rambut percuma,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Muhammad Afiq berkata, menjadi satu kepuasan pihak penganjur dan penaja melihat sendiri golongan yang betul-betul memerlukan bantuan menikmati juadah enak yang jarang mereka nikmati.

Menurutnya, pada hari ini juga, turut berlangsung ziarah asnaf ke Pasir Mas dengan melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga miskin dan yatim piatu.

“Terima kasih kepada semua penyumbang yang mempercayai VIC dalam menjayakan program amal sebegini.

MUHAMMAD Afiq Aiman Sukry
MUHAMMAD Afiq Aiman Sukry 

“Kami menjemput rakan pembaca yang bermurah hati untuk turut serta turun dan melihat selain menghulurkan sumbangan untuk kami menjayakan program yang pastinya menceriakan golongan asnaf, “ katanya.

Sumbangan ikhlas boleh disalurkan ke akaun kelab VIC menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0300241100004797 atau menghubungi 0199344077 untuk sumbangan barangan. - UTUSAN ONLINE