Pengarah Akademi Nik Rashiddin, Rosnawati Othman berkata, usaha untuk mempertahan kesenian dan budaya khususnya di negeri ini yang dikenali dengan kota budaya adalah penting supaya identiti warisan lama tidak hilang.

Beliau berkata, syarat sedemikian bukan bermaksud menolak sepenuhnya elemen seni bina lain seperti dari Timur Tengah tetapi ia sepatutnya diseimbangkan kerana orang Melayu juga mempunyai kepakaran seni bina asal sendiri.

“Dahulu apabila kita datang ke Kelantan kita dapat rasakan betapa negeri ini sangat ‘Melayu’, dari atas kapal terbang sebelum mendarat kita dapat lihat begitu banyak bumbung rumah dengan bata Singgora.

PENGARAH Akademi Nik Rashiddin (ANR), Rosnawati Othman (kanan) semasa membentang kertas kerja dalam

PENGARAH Akademi Nik Rashiddin (ANR), Rosnawati Othman (kanan) semasa membentang kertas kerja dalam Seminar Warisan Langkasuka - Citra Kesinambungan Nuansa Seni dan Budaya Melayu di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN ONLINE

“Sekarang sudah menjadi terlalu universal, tidak ada identiti negeri, sekarang apabila buat bangunan kita lebih banyak memandang kepada Timur Tengah, banyak penggunaan kubah dan gerbang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Kertas Kerja 1 bertajuk Motif Langkasuka Dalam Ukiran Kayu Melayu dalam Seminar Warisan Langkasuka - Citra Kesinambungan Nuansa Seni dan Budaya Melayu di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) di sini hari ini.

Program itu anjuran bersama Ikatan Jejak Warisan Nusantara Kelantan (WARISAN); PPAK dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Kelantan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah PPAK, Ruslan Ludin. Yang turut hadir, Setiausaha Kehormat WARISAN, Hambali Hamat.

Dalam seminar itu, sebanyak empat kertas kerja telah dibentangkan manakala Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), YM Dr Raja Iskandar Raja Halid telah menyampaikan ucaptama bertajuk Nobat dan Etnifikasi : Pertembungan Budaya dan Pengadaptasiannya Dalam Pembentukan Identiti Melayu. - UTUSAN ONLINE