Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, sejumlah RM500,000 diperuntukkan bagi tujuan keceriaan pada tahun lalu manakala pada tahun ini, sejumlah RM1.6 juta diperuntukkan bagi tujuan sama.

Katanya, tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan keceriaan perkara-perkara yang terdapat di sempadan atau laluan pintu masuk seperti tugu, arca, papan tanda dan landskap mengikut identiti atau keunikan kawasan masing-masing.

“Dalam lawatan saya ke beberapa lokasi seperti Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Dabong dan Gua Musang, kerajaan negeri berpendapat banyak lagi perlu dinaik taraf dan diselenggara bagi menceriakan kawasan tersebut yang menjadi pintu masuk negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rozi Muhamad (Pas-Tendong) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Izani memberitahu, antara program pembangunan keceriaan yang sedang giat dilaksanakan di sempadan negeri termasuklah menaik taraf landskap di Batu Melintang, Jeli; menaik taraf tanda sempadan di Merapoh, Gua Musang serta menaik taraf pintu gerbang di Dabong, Kuala Krai. - UTUSAN ONLINE