Presiden KCKK, Pui Tiong Lam berkata, walaupun keperluan makanan Orang Asli di kampung itu masih mencukupi, mereka terpanggil untuk menyampaikan sumbangan itu supaya kehidupan masyarakat itu terus terbela dari semasa ke semasa.

Katanya, KCKK bersimpati kerana mereka tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan masih mengharap bantuan makanan daripada pelbagai pihak selepas krisis kesihatan melanda kampung mereka.

“Pihak kami sudah lama bercadang untuk menyampaikan sumbangan bantuan makanan itu tetapi terhalang dengan zon merah. Hari ini barulah dapat menghulurkan sumbangan bungkusan makanan seperti telur, gula, air minuman dan makanan lain.

“Seramai 30 ahli KKCK yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan Siam juga turut bersama menyampaikan bantuan dan beramah mesra dengan Orang Asli,” katanya selepas menyampaikan bantuan tersebut hari ini.

Tambah Tiong Lam, sebelum ini KKCK juga pernah menghulur bantuan sama kepada Orang Asli di Pos Tohoi dan Kampung Kuala Betis.

Beliau berharap agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) terus mendampingi Orang Asli dengan memberikan kesedaran pendidikan dan peluang pekerjaan untuk golongan muda kaum itu.

Sementara itu, Penghulu Orang Asli Kuala Koh, Mohamad Pokok, 40, berkata, setakat ini mereka banyak menerima sumbangan daripada agensi kerajaan dan NGO.

Katanya, bantuan makanan itu tidak diberi sekaligus kepada setiap keluarga Orang Asli, sebaliknya disimpan dalam setor simpanan dahulu.

“Jika ada keperluan kita akan bagi kepada setiap keluarga kerana bantuan makanan yang diberikan kepada mereka sebelum ini juga masih ada dalam simpanan di rumah masing-masing.

“Kita berterima kasih kerana menerima sumbangan makanan secara berterusan daripada banyak pihak dan sehingga kini bekalan masih belum terputus," katanya. - UTUSAN ONLINE