LAU KEXIN
LAU KEXIN 

Pelajar tingkatan dua, Lau Kexin, 14, dari Kampung Dalam di sini berkata, dia tidak pernah diajak masuk ke masjid biarpun mempunyai ramai kawan beragama Islam.

Kexin yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat ini berkata, apa yang pasti dia tahu bahawa dia perlu menanggalkan selipar dan kasut sebelum masuk ke dalam masjid sama seperti tempat ibadah lain.

“Saya beragama Buddha, hari ini pertama kali dalam hidup saya masuk ke sebuah kuil Hindu.

“Saya tidak rasa takut melawat tempat ibadah agama lain, kita cuma perlu hormat dan ambil tahu peraturannya,” katanya.

Kexin adalah salah seorang daripada 65 pelajar SMK Tumpat yang menyertai program Jelajah Wacana Muhibah Budaya sempena Minggu Perpaduan peringkat negeri 2019 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan) negeri di Kuil Sri Muthumariamman di sini hari ini.

Kuil berusia 105 tahun tersebut adalah salah satu daripada lima lokasi jelajah termasuk Masjid Beijing Rantau Panjang di Pasir Mas; Wat Photikyan Phutthaktham, Bachok; Church of our Lady of Fatima dan Sri Gurduara Sahib di Kota Bharu dalam program yang bermula semalam hingga Khamis ini.

Program ini bertujuan memberi kefahaman kepada orang ramai supaya lebih memahami budaya, agama dan adat resam masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

M.RAJAH
M.RAJAH 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa kuil tersebut, M. Rajah, 60, berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke situ.

“Sekarang tidak ramai orang beragama Hindu di sini berbanding dahulu, hanya tinggal kira-kira enam buah keluarga sahaja, kuil ini asalnya dibina pekerja landasan keretapi yang di bawa British.

“Namun sehingga hari ini kita tidak ada masalah dengan masyarakat di sini, tidak pernah berlaku sebarang kacau ganggu malah kuil ini menjadi tempat untuk upacara besar seperti Thaipusam yang dihadiri penganut Hindu dari luar daerah ini,”katanya. - UTUSAN ONLINE