Program julung kali itu adalah anjuran Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK (KSKK PKINK) dan disokong Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dan pihak polis.

Hasanuddin, 57, berkata, ini adalah pengalaman pertama beliau berkayuh sejauh itu memandangkan baru sahaja terlibat dengan sukan berbasikal setelah dinasihatkan pihak doktor demi kesihatan.

“Sebelum ini saya banyak mengalami sakit lutut dan doktor menyarankan supaya menunggang basikal kerana aktiviti ini baik untuk mengatasi masalah tersebut, kesannya hari ini sakit lutut saya semakin berkurangan.

“Program kayuhan di Perth nanti adalah yang paling jauh saya sertai, walaupun di usia senja saya sahut cabaran ini untuk melakukannya mengikut kemampuan,” katanya selepas majlis pelepasan Program Kayuhan Merdeka Rentas Benua 2018 di sini hari ini.

Majlis teraebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus dan Setiausaha Kehormat KSKK PKINK, Mohd Roslan Mohd Zain.

Seramai 47 peserta pelbagai peringkat termasuk bekas Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Faudzi Che Mamat, 61, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail, 58, akan berkayuh sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Kelantan dalam ekspedisi tersebut.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, beliau akan melihat cara pihak keselamatan di Australia khususnya bandar raya Perth membuat kawalan jalan raya sehingga ia menjadi destinasi pilihan ramai termasuk masyarakat antarabangsa untuk sukan berbasikal.

“Apa yang baik kita akan jadikan panduan di Kelantan, kita juga akan lihat dari sudut pencegahan jenayah dan bagaimana mereka memastikan keamanan penduduk dan penunggang basikal berkayuh dengan selamat,” katanya. - UTUSAN ONLINE