Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin berkata, kes itu bagaimanapun terkawal apabila tiada pusat jagaan, sekolah, mahupun taska ditutup di negeri ini kerana tiada jangkitan serius atau kematian dilaporkan.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan, pihaknya mendapati kesedaran pengusaha taska, pusat jagaan dan ibu bapa memberikan penekanan terhadap aspek kebersihan anak-anak.

“Kita ambil serius kes ini apabila pihak jabatan turun padang untuk memberikan penerangan tentang wabak itu.

“Kita tengok data terdapat peningkatan pengesanan dan itu telah menunjukkan bahawa ada kesedaran apabila mereka datang mendapatkan rawatan awal di klinik kerajaan atau swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia dan Pelancaran ‘Ambo Nak Sihat’ 2018 peringkat negeri di Dataran Kesedar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Awam ne­geri, Dr. Junaideen Mohamad Zain dan Pegawai Kesihatan Da­erah, Dr. Junaidi Djoharnis.

Tambah Zaini, pihak­nya akan memberi lebih banyak penera­ngan bagi membendung penularan HFMD.

Katanya, penerangan berterusan berkenaan pendidikan kesihatan akan terus dilakukan bagi memastikan golongan ibu bapa memahami bahaya penyakit HFMD jika menyerang anak-anak mereka.

“Tindakan yang sewajarnya juga telah kita ambil di tempat berkaitan bagi membendung wabak itu,” katanya.