Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, inisiatif yang akan dimulakan di pasar-pasar utama terlebih dahulu itu perlu supaya kegiatan gotong-royong membersihkan pasar dapat dijalankan secara konsisten.

Beliau berkata, arahan sudah dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah supaya membuat perbincangan dengan para peniaga untuk menentukan hari pasar ditutup sama ada di pertengahan atau hujung bulan.

“Pasar adalah tempat yang kita kunjungi pagi dan petang, kita tutup sehari sahaja sebulan supaya kita dapat bersihkan betul-betul.

“Sekarang (pasar) tidak ada cuti, sebelah malam barang tutup dengan kanvas, kita tak tahu saki baki apa yang ada yang jadi sumber tempat pembiakan tikus dan sebagainya.

“Ambil sehari dalam sebulan kita berhenti dan gotong-royong bersihkan pasar, insyaAllah kurang berbau,” katanya di Majlis Pelancaran Kelantanku Bersih dan Gotong Royong Perdana di Dataran Bandaraya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin.

Hampir 2,000 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai misi membersihkan kawasan bandar ini dari pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Dalam majlis itu juga, Ahmad menyerahkan sumbangan bernilai RM5,000 kepada Pertubuhan Kelantanku Bersih yang diwakili Dr Azharim Omar sebagai penghargaan kepada usaha NGO tersebut yang banyak menggerakkan aktiviti dan kempen kebersihan.

 

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau yakin sikap rakyat negeri ini yang dahulunya diakui sendiri oleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pengotor sudahpun semakin berubah.

“Saya tengok banyak perubahan dalam kawasan bandar dan pinggir bandar, nak kata seratus seratus memang susah, negeri lain pun sama, tetapi masyarakat silih berganti, yang penting kita tingkatkan kesedaran,” katanya. - UTUSAN ONLINE